Pekerja ladang terjatuh parit ditemukan lemas

Bernama
Januari 9, 2024 15:05 MYT
Mangsa dipercayai terjatuh ke dalam parit selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan semasa meredah air yang melimpah ke jalan untuk pulang ke rumah. - Gambar/ JBPM
KUANTAN: Pekerja ladang yang didakwa terjatuh ke dalam parit di ladang kelapa sawit di Sungai Bebar Utara, Pekan dekat sini semalam, ditemukan lemas hari ini.
Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Zulfadli Zakaria berkata mangsa Muhammad Adhwa Haslan, 31, ditemukan pada 10.20 pagi tadi.
"Mangsa ditemukan kira-kira 100 meter dari lokasi dia didakwa terjatuh pada kedalaman tiga meter. Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya," katanya menerusi kenyataan di sini.
Muhammad Adhwa dipercayai terjatuh ke dalam parit pada 4.55 petang selepas motosikal ditunggangnya hilang kawalan semasa meredah air sedalam 0.33 meter yang melimpah di jalan utama ladang itu untuk pulang ke rumah.
-- BERNAMA
#motosikal jatuh parit #Kuantan #kes lemas #pekerja ladang
;