Pekerja ladang mengaku salah bakar isteri
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 9, 2023 13:40 MYT
Ogos 9, 2023 13:40 MYT
BUTTERWORTH: Seorang pekerja ladang mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth hari ini atas tuduhan cubaan membunuh isterinya dengan membakar wanita itu sehingga menyebabkan kecederaan parah dalam kejadian hujung bulan lalu.
Tertuduh, R Rethinasamy, 36, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Zulhazmi Abdullah.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa dengan niat cuba membunuh isterinya berusia 35 tahun dengan membakar mangsa sehingga mengakibatkan wanita itu mengalami kecederaan parah.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah premis di Ladang Mayfield, Tasek Gelugor, pada jam 10.30 malam, 31 Julai lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Jika perbuatan itu menyebabkan kecederaan kepada seseorang, tertuduh turut boleh dihukum di bawah kanun sama yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Amira Ruzaini Wan Abdul Razak manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Sewaktu prosiding, Wan Amira turut membantah jaminan ditawarkan terhadap tertuduh memandangkan kesalahan yang dilakukan terhadap isterinya adalah serius.
Mahkamah kemudian menetapkan 11 September depan untuk serahan laporan perubatan mangsa dan lantikan peguam.
Sebelum ini, media melaporkan seorang wanita cedera parah apabila suaminya bertindak menyimbah petrol sebelum membakar mangsa hanya disebabkan berlaku perselisihan faham antara mereka.
Suspek kemudian bertindak melarikan diri selepas itu sebelum berjaya ditahan empat hari kemudian di sebuah rumah di Jalan Bukit Panchor, Nibong Tebal.
Mangsa dilaporkan melecur tahap tiga kini masih tidak sedarkan diri dan sedang menerima rawatan di Hospital Pulau Pinang (HPP).