Pekerja ladang ditemui mati di perkarangan rumah

Astro Awani
Mei 17, 2020 16:30 MYT
Polis berkata mangsa yang berasal dari Kelantan dikatakan baru tiga hari bekerja di ladang tersebut. - Astro AWANI
Seorang buruh ladang getah ditemui mati di perkarangan sebuah rumah kongsi di Kampung Bukit Murai, Dungun, pada Ahad.
Mayat Che Mohd Adnin Che Omar, 39 tahun ditemui terbaring di atas tanah oleh penyelia ladang kira-kira jam 6.30 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah berkata mangsa yang berasal dari Kelantan dikatakan baru tiga hari bekerja di ladang tersebut.
Katanya ketika kejadian, penyelia ladang tersebut datang untuk melakukan pemeriksaan rutin sebelum melihat mangsa terbaring tidak sedarkan diri.
Menurut Baharudin, mangsa sempat berbuka puasa bersama rakan serumahnya pada Sabtu dan kali terakhir mangsa dilihat oleh rakannya ialah pada jam 9.30 malam.
Baharudin berkata, pihaknya menerima panggilan berkenaan kejadian tersebut pada jam 7.46 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama kekuatan lapan orang anggota.
Pemeriksaan lanjut terhadap mayat mangsa tidak menemui sebarang unsur-unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Mayat mangsa kemudiannya dibawa ke unit forensik Hospital Dungun untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian.
#buruh ladang #Che Mohd Adnin Che Omar #ditemui mati #Kampung Bukit Murai #Polis Daerah Dungun
;