Pekerja ladang asing guna motosikal curi untuk bekerja ditahan
Bernama
Oktober 23, 2018 10:30 MYT
Oktober 23, 2018 10:30 MYT
Tindakan 14 warga asing dipercayai menggunakan motosikal curi bagi kegunaan kerja ladang memakan diri apabila ditahan polis dalam satu serbuan di ladang kelapa sawit di sini awal pagi ini.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak SAC Yahya Abd Rahman berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, pihaknya telah menyerbu penempatan pekerja ladang terbabit dan memeriksa kira-kira 180 kenderaan.
"Kita telah memeriksa hampir 185 orang, rumah pekerja ladang telah diperiksa dan motosikal serta pemilik yang tidak dapat beri keterangan memuaskan bersabit pemilikan kenderaan kita bawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah untuk siasatan lanjut.
"Motosikal ini berkemungkinan bukan setakat digunakan di dalam kawasan ladang sebab itu penduduk berhampiran menyampaikan maklumat dan aduan kepada kita," katanya kepada pemberita ketika ditemui di lokasi hari ini.
Operasi selama tiga jam bermula pukul 1 pagi itu disertai 247 pegawai dan anggota JSJ kontinjen Perak yang telah menyerbu serta memeriksa lebih 10 buah rumah pekerja sepanjang dua kilometer di ladang berkenaan.
Dalam pada itu, Yahya berkata mereka yang ditahan terdiri daripada sembilan warganegara India dan lima Indonesia berumur antara 20-an hingga 40-an.
"Bagaimana mereka memiliki motosikal ini kita masih siasat, kita tidak pasti sama ada mereka beli sendiri atau dapat daripada pekerja-pekerja terdahulu," katanya.
Katanya kes disiasat mengikut Seksyen 379A, Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana menyimpan barang curi dan Seksyen 29 (1) Akta Kesalahan Kecil.
-- BERNAMA