Pekerja kontrak pembersihan maut dipercayai terhidu gas ammonia

Bernama
Ogos 11, 2018 20:02 MYT
Seorang pekerja pembersihan rakyat Indonesia maut dipercayai terhidu gas ammonia dan metana ketika melakukan kerja pembersihan di saluran tangki septik di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) hari ini. Foto: BERNAMA
Seorang pekerja pembersihan rakyat Indonesia maut dipercayai terhidu gas ammonia dan metana ketika melakukan kerja pembersihan di saluran tangki septik di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai (LTAS) hari ini.
Ketua Polis Daerah Kulai Supt Dzulkhairi Mukhtar berkata kejadian berhampiran Pintu 1, LTAS pada kira-kira 12 tengah hari itu menyebabkan Abdul Basit, 32, meninggal dunia di tempat kejadian manakala dua rakan sekerjanya Nazri Yasin, 40, rakyat tempatan dan Sutrisno, 44, rakyat Indonesia pula ditemui tidak sedarkan diri.
"Hasil siasatan mendapati Abdul Basit masuk ke dalam saluran tangki septik untuk menjalankan kerja penyelenggaraan tanpa memakai alat keselamatan yang menyebabkan dia terdedah kepada gas ammonia dan metana sebelum tidak sedarkan diri.
"Abdul Basit sempat meminta bantuan dan dua rakannya (Nazri dan Sutrisno) cuba membantu tetapi tidak berjaya kerana mereka juga hampir pengsan selepas terhidu gas tersebut," katanya menerusi kenyataan di sini.
Dzulkhairi berkata Nazri dan Sutrisno dipercayai berjaya menaikkan Abdul Basit separuh jalan namun terlepas setelah kedua-duanya turut mengalami kesan gas itu dan Abdul Basit terjatuh semula ke dalam tangki sedalam 10 meter tersebut.
Rakan mereka iaitu pemandu lori syarikat pembersihan tersebut bertindak meminta bantuan daripada polis lapangan terbang tersebut, katanya.
Katanya, mayat Abdul Basit dikeluarkan dengan bantuan anggota Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Putra, Kulai.
"Bomba tiba di lokasi pada 12.15 tengah hari dan si mati berjaya dikeluarkan 12.50 tengah hari," katanya menambah kematian Abdul Basit disahkan pembantu perubatan yang digegaskan ke lokasi.
Menurutnya ini adalah kali pertama Abdul Basit terlibat dalam kerja-kerja penyelenggaraan tangki septik kerana sebelum ini mangsa hanya membuat kerja pembersihan jalan.
Katanya mayat mangsa dihantar ke Hospital Temenggung Seri Maharaja Tun Ibrahim, Kulai untuk bedah siasat.
Kedua-dua rakan sekerja mangsa juga dihantar ke hospital sama untuk rawatan lanjut, katanya menambah kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
-- BERNAMA
#ammonia #Indonesia #Lapangan Terbang Antarabangsa Senai #LTAS #meninggal dunia #metana #pekerja pembersihan
;