Pekerja kontrak didakwa siram isteri dengan air panas

Bernama
November 28, 2016 18:15 MYT
Peguam A. Nadarajan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan dia menjaga empat orang anak yang berusia antara empat dan 11 tahun. - Gambar hiasan
Seorang pekerja kontrak mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mendatangkan cedera parah kepada isterinya dengan cara menyiram air panas, semalam.
M. Anbalagan, 29, didakwa telah dengan sengaja mendatangkan cedera parah terhadap K. Rehwathy, 28, seorang tukang cuci, dengan cara menyiram air panas ke atas wanita itu di Blok D-15-02, PPR Jalan Pekaka, 8/1, Kota Damansara, di sini, pada 12.30 tengah hari, 27 November.
Dia didakwa di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan hendaklah dikenakan denda atau sebat, manakala Seksyen 326A membawa hukuman penjara dua kali ganda daripada hukuman asal, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin.
Peguam A. Nadarajan yang mewakili tertuduh memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin atas alasan dia menjaga empat orang anak yang berusia antara empat dan 11 tahun.
Hakim Manira Mohd Noor membenarkan tertuduh diikat jamin RM8,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 29 Disember untuk sebutan semula kes. - BERNAMA
#disimbah air panas #isteri #kes jenayah #mahkamah seksyen
;