Pekerja kilang tidak sedarkan diri dipercayai terhidu gas ammonia

Bernama
Oktober 3, 2022 11:20 MYT
Jentera bomba yang berada di lokasi sebuah kilang di Batu 6, Jalan Kuala Kedah melakukan operasi penyelamatan berikutan kebocoran gas ammonia yang berlaku. - Foto JBPM Kedah
ALOR SETAR: Seorang pekerja sebuah kilang di Batu 6, Jalan Kuala Kedah dekat sini ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri oleh anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah selepas dipercayai terhidu gas ammonia yang bocor.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat JBPM Kedah Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.18 pagi.
"Komander Operasi yang membuat pemantauan mendapati terdapat bau gas ammonia yang sangat kuat di lokasi. Kesemua anggota telah diarahkan memakai alat pernafasan dan membuka aliran hos dan membuat teknik 'water curtain' bagi menghampiri kawasan kilang dan mengenal pasti punca kebocoran gas.
"Pada pukul 7.06 pagi, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Raja menemukan mangsa yang berusia 40-an dalam keadaan tidak sedarkan diri di kawasan kilang berkenaan akibat terhidu gas yang bocor di dalam kilang," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata mangsa berjaya dikeluarkan dan telah diberikan rawatan awal sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini untuk tindakan lanjut.
"Kawalan keselamatan telah dilakukan di lokasi kejadian bersama pasukan Hazmat dan telah berjaya menemui injap gas yang bocor dan menutup injap berkenaan.
"Pasukan Hazmat melakukan pengesanan gas di sekitar kawasan berkenaan bagi memastikan ia selamat dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 10.19 pagi," katanya.
-- BERNAMA
#pekerja kilang #gas ammonia #bomba #HSB
;