Pekerja kilang mengaku miliki bahan pornografi kanak-kanak, video lucah
Sinar Harian
Disember 30, 2024 12:40 MYT
Disember 30, 2024 12:40 MYT
HULU TERENGGANU: Seorang pekerja kilang ais mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan penganiayaan kanak-kanak dan video lucah di Mahkamah Majistret di sini pada Isnin.
Ringkasan AI
- Muhammad Affandi Mohd Azi, seorang pekerja kilang ais, mengaku bersalah atas dua pertuduhan memiliki bahan penganiayaan kanak-kanak dan video lucah.
- Pertuduhan pertama melibatkan bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak, yang boleh dihukum penjara hingga lima tahun atau denda hingga RM10,000.
- Pertuduhan kedua melibatkan memiliki video lucah, yang boleh dihukum penjara hingga tiga tahun atau denda.
- Tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 dan tarikh hukuman ditetapkan pada 15 Januari di Mahkamah Majistret Marang.
Tertuduh, Muhammad Affandi Mohd Azi, 33 membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Zur Azureen Zainalkefli.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memiliki bahan penganiayaan seksual terhadap kanak-kanak di Kampung Batangan, dalam daerah Marang jam 8.50 malam pada 23 Disember lalu.
Bagi kesalahan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 10 Akta Kesalahan Seksual Terhadap kanak-Kanak 2017 yang boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara selama tidak melebihi lima tahun atau didenda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa memiliki video lucah pada tarikh, masa dan tempat yang sama di mana dia boleh dihukum di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara selama tempoh tiga tahun, denda atau kedua-duanya.
Mahkamah kemudian memutuskan tertuduh diikat jamin sebanyak RM8,000 oleh seorang penjamin bagi kedua-dua pertuduhan.
Mahkamah turut menetapkan 15 Januari depan sebagai tarikh hukuman di Mahkamah Majistret Marang.
Pendakwaan kes tersebut dikendalikan pegawai pendakwa, Asisten Superintenden Tuan Norhasnida Tuan Nordin manakala tertuduh tidak diwakili peguam. -Sinar Harian