Pekerja kilang melecur dalam kebakaran empat buah kilang
Bernama
Januari 8, 2017 16:02 MYT
Januari 8, 2017 16:02 MYT
Seorang pekerja kilang warga Bangladesh melecur di tangan serta mengalami sesak nafas dalam kejadian kebakaran membabitkan empat buah kilang di Taman Perusahaan Ringan Juru, di sini hari ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai A'azelan Hassan berkata lelaki berusia 30-an itu dipercayai mengalami kecederaan ketika cuba menyelamatkan diri dan dihantar ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan lanjut.
"Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 11.31 pagi dan jentera pertama dari BBP Perai tiba di lokasi kejadian kira-kira 11 minit kemudian semasa api sedang marak di kilang perabot, iaitu kilang pertama yang terbakar.
"Api kemudian merebak ke tiga lagi kilang bersebelahan," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Beliau berkata lapan jentera bersama 36 pegawai dan anggota bomba yang dibantu lebih 70 anggota daripada 10 pasukan bomba sukarela berjaya mengawal kebakaran itu pada 12.06 tengah hari.
A'azelan berkata kilang perabot itu hangus lebih 80 peratus manakala tiga lagi terbakar antara 10 hingga 50 peratus dan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Sementara itu, pemilik kilang perabot berkenaan yang hanya mahu dikenali sebagai David, 49, berkata syarikatnya kerugian lebih RM500,000 selepas semua mesin, kayu, stok baharu dan perabot di dalam kilang tersebut musnah dalamm kejadian terbabit.
-- BERNAMA