Pekerja kilang maut, rakan parah motosikal bertembung kereta
Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 24, 2022 17:43 MYT
Ogos 24, 2022 17:43 MYT
BUTTERWORTH: Seorang pekerja kilang maut manakala rakannya cedera parah selepas motosikal yang ditunggangi mereka terlibat dalam kemalangan dengan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Jalan Chain Ferry, di sini pada Rabu.
Dalam kejadian jam 6.20 pagi itu, penunggang berusia 18 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala , sementara pembonceng berusia 20 tahun turut cedera di kepala dan dikejarkan ke Hospital Seberang Jaya (HSJ) untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara , Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, kemalangan melibatkan sebuah motosikal dan sebuah kereta dipandu warganegara asing berusia 38 tahun yang juga penuntut di sebuah institut pengajian tinggi awam (IPTA).
“Siasatan mendapati, mangsa menunggang motosikal dari arah Sungai Nyior menghala ke Bagan Dalam, dan sebaik tiba di persimpangan lampu isyarat mangsa dipercayai tidak berhenti di lampu isyarat berkenaan.
“Ketika itu, sebuah kereta dipandu pelajar IPTA yang datang dari arah Perai menghala ke Penang Sentral yang mana lampu isyarat laluan keretanya sudah berwarna hijau, dan pemandu tidak sempat mengelak motosikal mangsa. Akibat itu, motosikal mangsa hilang kawalan dan terbabas masuk ke laluan bertentangan arah Chain Ferry,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala, di mana penunggang motosikal meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Seberang Jaya untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.
#pekerja kilang
#motosikal
#kereta
#Jalan Chain Ferry
#Polis Daerah Seberang Perai Utara
#ipta
#warganegara asing