Pekerja kilang maut, motosikal terbabas

Sinar Harian
April 19, 2022 07:30 MYT
Mangsa maut selepas motosikal ditungganginya terbabas dalam kejadian di KM37, Jalan Lipis-Merapoh pada Selasa. -Foto Sinar Harian
LIPIS: Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditungganginya terbabas di Kilometer (KM) 37, Jalan Lipis-Merapoh dekat Central Spine Road (CSR) di sini pada Selasa.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.28 pagi itu, mangsa, Ahmad Nazri Razani, 25, dari Kampung Tapang, Kota Bharu, Kelantan yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR meninggal dunia di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Lipis, Superintendan Azli Mohd Noor memberitahu, siasatan awal mendapati mangsa bergerak dari Kota Bharu, Kelantan pada jam 7.30 pagi menghala ke Kuala Lumpur untuk kembali bekerja.
"Mangsa menunggang motosikal seorang diri dan apabila sampai di tempat kejadian, motosikalnya dipercayai hilang kawalan dan terbabas ke arah tepi jalan sebelah kiri.
"Akibat kemalangan tersebut, penunggang motosikal itu mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kuala Lipis dan bedah siasat akan dijalankan selepas keputusan ujian swab COVID-19 diperoleh.
Katanya, siasatan lanjut akan diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
*Berita asal di Sinar Harian
#Akta Pengangkutan Jalan 1987 #pekerja kilang maut #motosikal terbabas #Ahmad Nazri Razani
;