Pekerja kilang maut, kereta berpusing sebelum terbakar

Sinar Harian
September 14, 2024 15:05 MYT
Keadaan kereta dipandu mangsa selepas terbabit kemalangan melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 44, Jalan Kuantan-Kemaman di sini pada Sabtu.- Foto FB Polis Trafik Kuantan
KUANTAN: Seorang pekerja kilang maut selepas kereta dipandu terbabit nahas melibatkan tiga kenderaan di Kilometer 44, Jalan Kuantan-Kemaman di sini pada Sabtu.
Kemalangan kira-kira jam 7.20 pagi itu melibatkan sebuah kereta jenis Proton Saga, sebuah kereta Perodua Kancil dan sebuah lori.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, pemandu kereta Proton Saga, Abdul Halim Ali, 51, beralamat dari Kampung Gong Tok Nasek, Kuala Terengganu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Beliau berkata, wanita berusia 27 tahun yang memandu kereta jenis Perodua Kancil dan pemandu lori berusia 49 tahun dilaporkan cedera.
Menurutnya, kemalangan dipercayai berlaku ketika pemandu Proton Saga dan pemandu Perodua Kancil dalam perjalanan dari arah Kemaman menghala ke Kuantan.
"Ketika tiba di lokasi kejadian, pemandu Proton Saga dipercayai cuba memotong Perodua Kancil sebelum bertembung dengan lori yang datang dari arah bertentangan.
"Akibat kejadian, kereta dipandu mangsa berpusing sebelum terbakar dan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
"Mayat mangsa dihantar ke hospital untuk proses bedah siasat. Mangsa yang cedera di hantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut," katanya.
Beliau berkata, sampel darah dan urin mangsa akan diambil untuk tujuan toksikologi.
"Pihak polis turut mengesan saksi yang melihat kejadian bagi membantu siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -- Sinar Harian
#pekerja kilang maut #kemalangan Jalan Kuantan-Kemaman #kereta berpusing #kereta terbakar
;