Pekerja kilang maut kemalangan, dua kali dilanggar dan diseret

Sinar Harian
Julai 30, 2024 16:18 MYT
Motosikal dan kereta yang terbakar dalam nahas membabitkan lima kenderaan di KM 20.4 Jalan Kota Tinggi-Kulai pada pagi Selasa. -Foto PDRM
KOTA TINGGI: Seorang maut dalam nahas membabitkan lima kenderaan di Kilometer (KM) 20.4 Jalan Kota Tinggi-Kulai dekat sini pada awal pagi Selasa.
Dalam nahas jam 5.55 pagi itu, dua kenderaan iaitu motosikal dan kereta terbakar.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, mangsa yang maut ialah penunggang motosikal lelaki yang merupakan pekerja kilang.
Menurut beliau, siasatan awal mendapati motosikal mangsa yang berusia 35 tahun dalam perjalanan dari arah Kulai menuju Kota Tinggi telah melanggar belakang lori dalam keadaan kabus tebal ketika kejadian.
"Penunggang motosikal terjatuh di atas jalan raya. Kemudiannya dilanggar dan diseret oleh Perodua Aruz sebelum terbakar di tempat kejadian.
"Mangsa turut di langgar oleh Nissan X-Trail yang tidak perasan mangsa berada di atas jalan kerana kabus tebal.
"Akibat perlanggaran tersebut kereta Nissan berhenti secara mengejut dan telah dilanggar dari sisi belakang oleh kereta Myvi yang tidak sempat mengelak," katanya ketika dihubungi pada Selasa.
Beliau memberitahu, mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayat di bawa ke unit forensik Hospital Kota Tinggi.
"Manakala kesemua pemandu terlibat tidak mengalami kecederaan. Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya. -Sinar Harian
#Motosikal dan kereta terbakar dalam nahas #Jalan Kota Tinggi-Kulai #perodua aruz #penunggang motosikal
;