Pekerja kilang maut kemalangan dalam perjalanan pulang ke rumah

Dewi Nur Harasha Alias
Ogos 15, 2022 14:15 MYT
Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Permatang Bertam, Kepala Batas, pada Isnin. - Gambar ihsan pembaca
KEPALA BATAS: Seorang pekerja kilang yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan dua buah motosikal di Jalan Permatang Bertam, di sini, pada Isnin.
Dalam kejadian pukul 8 pagi itu, mangsa yang berusia 40 tahun meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Ketika kejadian, mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Permatang Bertam selepas selesai bertugas di sebuah kilang di Perai .
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner (ACP) Mohd. Radzi Ahmad berkata, siasatan mendapati, kejadian dipercayai berlaku apabila motosikal jenis Honda RS ditunggangi mangsa cuba memotong sebuah kereta di hadapannya.
Bagaimanapun, motosikal jenis Modenas Kriss ditunggang seorang lelaki berusia 18 tahun dari arah bertentangan tidak sempat mengelak motosikal mangsa yang masuk ke laluannya.
“Kedua-dua motosikal bertembung menyebabkan kedua-duanya terjatuh ke atas jalan salah seorang terpelanting ke dalam longkang dan mengalami kecederaan parah,” katanya.
Mohd. Radzi berkata, akibat kejadian itu, mangsa maut di tempat kejadian dan mayatnya telah dihantar ke Hospital Kepala Batas untuk proses bedah siasat.
“Mangsa yang mengalami kecederaan pada paha pula dikejarkan ke hospital sama bagi rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
#pekerja kilang maut #kemalangan #Kepala Batas #Permatang Bertam
;