Pekerja kilang maut dirempuh kenderaan

Astro Awani
Mac 17, 2020 09:44 MYT
Motosikal yang ditunggangi Azman dipercayai merempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita. - Astro AWANI
Seorang pekerja kilang maut selepas motosikal yang ditungganginya merempuh sebuah kereta dalam kejadian kira-kira jam 6 petang di kawasan industri Gong Badak, di sini, pada Isnin.
Mangsa, Azman Sulong, 48 tahun, dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Kampung Padang Nenas sebelum disahkan maut di tempat kejadian.
Sejurus tiba di lokasi kemalangan, motosikal yang ditunggangi mangsa dipercayai merempuh sebuah kereta yang dipandu seorang wanita.
Rempuhan itu mengakibatkan kereta berkenaan terbabas dan melanggar sebatang pokok berhampiran tempat kejadian.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, ACP Abdul Rahim Md Din mengesahkan kejadian.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk proses bedah siasat.
Manakala pemandu kereta terbabit turut dibawa ke hospital sama untuk menerima rawatan.
#Gong Badak #Hospital #kemalangan #Kuala Nerus #Kuala Terengganu #mangsa #maut #mayat #motosikal #pekerja kilang #polis #rempuh
;