Pekerja kilang kelapa cedera, tangan tersepit mesin
Aida Aziz
November 9, 2019 14:19 MYT
November 9, 2019 14:19 MYT
Seorang pekerja terpaksa menahan kesakitan lebih satu jam apabila tangannya tersepit di dalam mesin membuang sabut kelapa di sebuah kilang di Lorong Kilang, Jalan Pokok Assam, di sini, hari ini.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak berkata, mangsa dikenali sebagai Ooi Yok Seng, 53 tahun, yang terlibat dalam kejadian itu semasa sedang membuang sabut kelapa.
"Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping menerima panggilan pada pukul 10.30 pagi dan seterusnya bergegas ke lokasi kejadian.
"Setibanya jentera di lokasi kejadian, didapati seorang mangsa, lelaki, telah tersepit tangannya di dalam mesin membuang sabut kelapa.
"Anggota bertindak menggunakan hydraulic spreader bagi meregangkan mesin tersebut sehingga tangan mangsa berjaya dikeluarkan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, mangsa seterusnya diserahkan kepada pihak ambulans bagi tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Izuan Che Ibrahim itu tamat pada pukul 11.50 pagi.
#Ambulans
#Izuan Che Ibrahim
#JBPM Perak
#membuang sabut kelapa
#mesin
#pekerja kilang
#Taiping
#tangan tersepit