Pekerja kilang didakwa rempuh pesara hingga mati
Shuhada Abdul Kadir
Mei 5, 2023 15:20 MYT
Mei 5, 2023 15:20 MYT
AYER KEROH: Seorang pekerja kilang dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ayer Keroh hari ini atas pertuduhan merempuh seorang pesara dengan kereta hingga menyebabkan kematian, Februari lalu.
Syafiq Raj Kalai Selvan, 27, hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Nabilah Nizam, namun tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian terhadap Saadon Sahat, 57.
Kesalahan itu dilakukan di belakang bangunan premis tiga tingkat, Jalan PPM 4, Plaza Pandan Malim, antara jam 2.44 pagi hingga 3.10 pagi, 27 Februari lalu.
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya J Banusha manakala tertuduh diwakili peguam R Ryshinah.
Majistret tidak membenarkan jaminan diberikan kepada tertuduh dan menetapkan tarikh sebutan semula kes pada 22 Jun.
Media pada 27 Mac melaporkan, seorang rakannya warga India yang bekerja sebagai tukang gunting rambut, S Logamurugan, 27, telah didakwa atas tuduhan membunuh Sa’adon.
Mangsa dikatakan dilanggar dengan kereta dan diseret kira-kira 20 meter oleh dua pemuda selepas menegur mereka memasang lagu terlalu kuat di dalam kereta sehingga mengganggu ketenteraman.