Pekerja kilang didakwa miliki bom buatan sendiri, pistol tiruan
Dewi Nur Harasha Alias
Oktober 16, 2023 12:50 MYT
Oktober 16, 2023 12:50 MYT
BUTTERWORTH: Seorang pekerja kilang mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Butterworth atas pertuduhan memiliki bahan letupan serta memiliki pistol tiruan tanpa kebenaran pada 8 Oktober lepas.
Tertuduh Bonny Anak Tigong, 32, membuat pengakuan tersebut selepas dua pertuduhan dibacakan di hadapan majistret Siti Zulaikha Noordin @ Ghani.
Mengikut pertuduhan pertama, lelaki berasal dari Sarawak itu didakwa memiliki bahan letupan improvised explosive device ( IED) tanpa kebenaran yang sah .
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah flat di Taman Pandan, Mak Mandin, Butterworth pada jam 7.35 malam 8 Oktober lepas.
Dia didakwa di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua- duanya sekali.
Bagi pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa memiliki sepucuk pistol tiruan grib jenis kayu tanpa kebenaran yang sah pada jam 6.30 petang di tempat dan tarikh yang sama.
Dia dituduh mengikut seksyen 36 Akta Senjata 1960 sabit kesalahan boleh di penjara tidak melebihi satu tahun dan denda tidak melebihi lima ribu ringgit atau kedua- duanya sekali.
Kedua- dua pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya, Asma' Amira Shahidani, manakala tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan ( YBGK).
Sementara itu, di Mahkamah Sesyen, tertuduh turut mengaku tidak bersalah atas tuduhan memiliki sebilah kerambit beserta sarung berukuran 19 sentimeter tanpa tujuan sah.
Pengakuan tersebut dibuat selepas pertuduhan dibacakan dihadapan hakim Noor Aini Yusof.
Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357).
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwaraya Mohammad Syafiq Nasrullah Saleem Ali manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Bagi ketiga-tiga kes berkenaan mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin dengan jumlah keseluruhan RM15,000.
Mahkamah menetapkan 16 November depan untuk sebutan semula kes bagi serahan dokumen dan lantikan peguam.
Media sebelum ini melaporkan seorang lelaki ditahan polis selepas meletupkan bom buatan sendiri berhampiran mesin basuh jirannya di flat terbabit.
Tindakan tersebut dilakukan kerana suspek dikatakan berang jirannya sering batuk setiap kali dia melalui koridor rumah.
Siasatan awal turut membawa kepada penemuan satu lagi bom buatan sendiri dan pihak polis turut merampas sepucuk pistol dan peluru buatan sendiri serta kerambit.
Suspek dikatakan mempelajari cara dan teknik membuat bom melalui laman web manakala bahan yang digunakan diperolehi menerusi pembelian atas talian.