Pekerja kilang dibunuh selepas wang tebusan dibayar

Umavathi Ramayah
Oktober 7, 2022 15:56 MYT
Mohd Zaid Hassan memberitahu, penahanan empat suspek itu, akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak berkenaan. - Gambar IPD Kajang
KAJANG: Mayat pekerja kilang warga Bangladesh dipercayai mangsa culik ditemukan dalam keadaan separuh reput dengan tangan dan mukanya diikat menggunakan pita pelekat serta kain sarung di kawasan semak di Jalan Taming Jaya 10, Seri Kembangan di sini, malam Khamis.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan memberitahu, perkara itu terbongkar selepas polis menahan empat lelaki Bangladesh dalam dua serbuan berasingan pada Rabu dan Khamis lalu.
Beliau memberitahu, polis menerima laporan daripada seorang lelaki Bangladesh yang menyatakan anak saudaranya yang keluar rumah pada 25 September lalu gagal dihubungi.
Menurutnya, pada keesokan harinya, ibu kepada mangsa yang berada di Bangladesh mendakwa menerima panggilan daripada suspek disyaki warganegara sama menyatakan mangsa berada di bawah tahanan mereka dan mereka dikehendaki membayar 500,000 Taka Bangladesh (RM24,000) sebagai wang tebusan untuk membebaskannya.
"Pada 27 September, ibu mangsa yang telah memindahkan wang yang diminta suspek melalui akaun bank di Bangladesh dan suspek berjanji untuk melepaskan mangsa dalam tempoh masa dua hari.
"Memandangkan ibu mangsa tidak menerima sebarang berita berkenaan mangsa, ibunya meminta abang kandungnya untuk membuat laporan pada 30 September lalu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.
Mohd Zaid memberitahu, bertindak atas laporan itu, polis menahan dua lelaki warga Bangladesh di sekitar Beranang petang kelmarin (Rabu) dan dua lagi suspek juga warga Bangladesh petang semalam (Khamis) di sekitar Semenyih," katanya lagi.
Beliau berkata, penahanan empat suspek itu, akhirnya membawa kepada penemuan mayat mangsa di kawasan semak berkenaan.
Hasil siasatan awal katanya, mangsa yang berusia 39 tahun itu dibunuh kerana mangsa mengenali suspek.
Tambahnya lagu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Serdang untuk proses bedah siasat.
Kes itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu diminta menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Vekram Sinnaiah di talian 019-4737108 dengan segera.
#tebusan #Seksyen 302 Kanun Keseksaan #bunuh rakan #Polis Diraja Malaysia
;