Pekerja kilang dakwa diberhentikan tanpa notis, tuntut pampasan

Astro Awani
Disember 10, 2017 20:47 MYT
Bekas pekerja melakukan protes di luar pintu pagar kilang pada Ahad. -Astro AWANI
Seramai 118 bekas pekerja sebuah kilang keluli di Kawasan Perindustrian Gebeng menuntut pembelaan selepas mereka diberhentikan tanpa sebarang pampasan daripada syarikat itu.
Seorang bekas pekerja, Zafran Ahmad, 43, berkata kesemua mereka merupakan pekerja tempatan yang telah bekerja di kilang terbabit di antara 15 hingga 20 tahun.
Menurutnya, pihak kilang memberhentikan pekerja dalam tiga peringkat.
Dalam peringkat pertama, 39 pekerja telah diarahkan untuk tidak datang bekerja selama 12 hari. Apabila mereka kembali ke kilang pada hari ke-13, mereka dimaklumkan telah pun diberhentikan kerja.
Peringkat kedua membabitkan 56 orang pekerja yang telah diberikan notis berhenti kerja sementara.
Peringkat ketiga pula membabitkan 23 pekerja yang diberi memo yang menyatakan mereka telah diberhentikan kerja.
Zafran berkata, dalam memo yang dikeluarkan, syarikat berkenaan berjanji untuk melunaskan gaji tertunggak namun sehingga kini mereka masih belum menerimanya.
“Pada 17 Nov lalu, semua pekerja diberi notis peringkat terakhir yang menyatakan kami semua tidak perlu masuk kerja lagi.
“Kami masih ada gaji tertunggak dan tiada pampasan diberikan oleh syarikat.
“Pada 30 Nov pula, kami diminta ke Pejabat Buruh untuk berjumpa dengan majikan tetapi malangnya pihak majikan tidak menghantar wakil,” katanya.
Seorang lagi bekas pekerja, Mohd Khaizal Idris, 42, mendakwa masalah membabitkan pekerja tempatan di kilang berkenaan berlaku pada awal 2016 dan usaha pekerja di situ untuk berjumpa dan berbincang dengan pengurusan tertinggi syarikat seperti tidak dilayan.
Katanya, mereka amat memerlukan tunggakan gaji berkenaan untuk menyediakan kelengkapan persekolahan anak serta membayar hutang.
“Kami harap sangat ada yang sudi membela dan mengetengahkan masalah ini ke peringkat yang lebih tinggi. Sekurang-kurangnya bolehlah kami membiayai anak-anak ke sekolah dan bolehlah bayar sikit mana-mana hutang yang ada,” ujarnya.
Kesemua bekas pekerja kilang keluli itu mahu pihak syarikat membayar tunggakan gaji serta pampasan atau faedah penamatan kerja seperti yang termaktub di bawah Akta Kerja 1955 dan undang–undang buruh berkaitan.
Sementara itu, Sinar Harian melaporkan, wakil syarikat berkenaan yang berjaya dihubungi mereka berkata, pihaknya hanya akan membuat pembayaran tunggakan gaji dan pampasan selepas proses perbincangan selesai dan jumlah sebenarnya dimuktamadkan.
"Jumlah yang dianggarkan hanyalah RM700,000 dan kita kini dalam proses perbincangan dengan kesatuan pekerja untuk terus bertindak.
"Selain itu jumlah tuntutan yang sebenar perlu dimuktamadkan oleh peguam dan apabila semua sudah selesai baru syarikat boleh membuat pembayaran kepada mereka," katanya.
#diberhentikan kerja #kawasan perindustrian gebeng #kilang keluli #majikan #Mohd Khaizal Idris #pampasan pekerja #Pejabat Buruh #tunggakan gaji
;