Pekerja kilang bawa dadah syabu bernilai RM100,000 direman

Astro Awani
Disember 5, 2015 18:48 MYT
Ketika ditahan, dadah jenis syabu seberat satu kilogram itu disembunyikan di dalam sebuah kotak. - Gambar Hiasan
Tindakan seorang pekerja kilang yang ingin memperoleh wang mudah dengan menjadi pengedar dadah membawa padah apabila dia ditahan sepasukan anggota polis Jumaat lepas.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Mior Farid Al Atrash Wahid berkata ketika serbuan dilakukan lelaki terbabit sedang membawa dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM100,000 di tempat letak kereta E-Gate, Jelutong.
Dadah jenis syabu seberat satu kilogram itu disembunyikan di dalam sebuah kotak.
"Suspek berusia 21 tahun ditahan dan baru berjinak-jinak dalam kegiatan ini dan dia masih muda baru terlibat kegiatan ini.
"Berdasarkan soal siasat kita percaya pembantu kilang itu ingin mencari duit lebih dan terlibat dalam pengedaran dadah bagi menampung hidup," katanya lagi.
Mior berkata, polis percaya suspek baru enam bulan melakukan kegiatan jenayah tersebut dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Lelaki terbabit kini direman selama tujuh hari bermula Sabtu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman gantung mandatori.
#Dadah #Mior Farid Al Atrash Wahid #polis #Syabu
;