Pekerja kedai tomyam warga Thailand dalang jual air ketum di Shah Alam

Astro Awani
Mac 1, 2018 05:57 MYT
Polis rampas 42 kg daun ketum dan 35 bungkus air ketum yang sudah siap diproses dari sindiket edar ketum warga Thailand - Foto AstroAWANI
Jika sebelum ini penjualan air ketum begitu popular di utara Semenanjung, kini ia dikesan mula menular di Lembah Klang.
Permintaan tinggi dipercayai mendorong sindiket penjualan air ketum ini mengembangkan operasinya.
Bagaimanapun, kegiatan itu bukan didalangi oleh warga tempatan, sebaliknya oleh warga Thailand.
Kegiatan itu terbongkar dengan kejayaan polis menahan 10 pekerja kedai makan warga Thailand di sebuah pangsapuri di Seksyen 17, Shah Alam, Selangor.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, ACP Baharudin Mat Taib berkata kesemua suspek itu yang terdiri daripada sembilan lelaki dan seorang wanita berumur antara 17 hingga 51 tahun itu ditahan kira-kira pukul 3.30 petang pada Rabu.
"Serbuan ini dilakukan selepas polis menerima laporan daripada orang awam bahawa terdapat aktiviti menjual ketum di kawasan berkenaan oleh warga Thailand yang bekerja di kedai makan sekitar daerah ini.”
"Dalam serbuan ini kami turut merampas 42 kilogram daun ketum, 82 botol ubat batuk, 35 bungkus air ketum yang sudah siap diproses dan wang tunai berjumlah RM5,908," katanya dalam sidang akhbar, di sini pada Khamis.
Baharudin berkata nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM9,370 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952.
Menurutnya, siasatan awal mendapati kumpulan itu mendapat bekalan daun ketum dari utara tanah air dan menjadikan rumah yang disewa itu sebagai stor simpanan serta pusat pengedaran ketum sejak enam bulan lepas.
"Mengikut harga pasaran semasa, air ketum yang siap diproses dijual pada harga RM10 sebungkus, daun ketum pula dijual pada RM35 dan ubat batuk antara RM15 hingga RM20 sebotol.
"Semakan kita juga mendapati kesemua mereka tinggal lebih masa kerana tarikh visa lawatan telah tamat tempoh dan mereka direman selama 14 hari bermula Khamis," katanya.
#daun ketum #kedai tomyam #pekerja kedai tomyam #polis #shah alam #sindiket #Thailand #wanita
;