Pekerja kedai runcit warga Pakistan cedera ditembak dengan senapang patah

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 23, 2022 11:45 MYT
Siasatan mendapati suspek sering ke kedai runcit berkenaan sebelum ini dan dipercayai tidak berpuas hati dengan mangsa. - Gambar hiasan
TASEK GELUGOR: Seorang pekerja kedai runcit warga Pakistan cedera ditembak dengan senapang patah dalam kejadian di sebuah kedai runcit di Pokok Tampang, Tasek Gelugor.
Dalam kejadian jam 6.30 petang Sabtu itu, mangsa berusia 31 tahun cedera di bahagian dada kanan dan tangan kanan akibat tembakan tersebut.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad ketika dihubungi Astro AWANI memaklumkan, pihak polis menerima laporan kejadian daripada seorang wanita yang juga pemilik kedai runcit berkenaan.
Katanya, seorang lelaki datang ke kedainya dan melepaskan tembakan menggunakan senapang patah ke arah pekerjanya.
Mohd Radzi berkata, siasatan mendapati suspek berusia 33 tahun, sering ke kedai runcit berkenaan dipercayai mempunyai masalah dan tidak berpuas hati dengan mangsa sebelum ini.
"Suspek datang ke kedai runcit berkenaan lalu melepaskan tembakan ke arah mangsa menggunakan senapang patah milik ayahnya.
"Mangsa mengalami kecederaan di bahagian dada dan tangan kanan dan telah dibawa ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk rawatan lanjut," katanya.
Susulan kejadian itu, polis telah menahan suspek dan merampas senjata yang digunakan dalam insiden itu.
" Siasatan mendapati senapang patah itu milik ayah suspek " katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Kes disiasat mengikut 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960.
ENDS.
#cedera #tembak #senapang patah #kedai runcit
;