Pekerja kedai aksesori telefon bimbit didakwa bunuh majikan
Abd Razak Mohd Ali
Januari 11, 2024 11:20 MYT
Januari 11, 2024 11:20 MYT
IPOH: Seorang pekerja kedai aksesori telefon bimbit dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh majikannya dalam satu pergaduhan, minggu lalu.
Tertuduh, Yap Kok Ming, 54 tahun, mengangguk faham selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Siti Nora Sharif.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes bunuh di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan bunuh dengan menyebabkan kematian terhadap Lee Siew Lean, 49 tahun.
Yap didakwa melakukan perbuatan itu di kedai aksesori telefon bimbit di Taman Rasi Jaya, Menglembu antara jam 10 pagi dan 12 tengah hari, 4 Jan lalu.
Pendakwaan dilakukan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara antara 30 dan 40 tahun, dan jika tidak dihukum mati, hendaklah juga dihukum minima 12 sebatan.
Tiada jaminan ditawarkan dan mahkamah menetapkan 6 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes untuk laporan bedah siasat.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Vatchira Wong Rui Fern manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Pada 4 Jan lalu, media melaporkan seorang wanita maut dipercayai ditikam pekerjanya dalam satu pergaduhan di Taman Rasi Jaya.
Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.