Pekerja kedai aiskrim Taman Sri Muda cedera disamun lelaki bertopeng

Sinar Harian
Ogos 13, 2024 05:50 MYT
Mangsa mengalami kecederaan dibawa ke Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut. Gambar kanan: Tangkap layar video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian pada Isnin. -Sinar Harian
SHAH ALAM: Pekerja sebuah kedai aiskrim di Taman Sri Muda di sini nyaris maut selepas ditikam seorang individu bertopeng dalam kejadian samun pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 11.30 pagi ketika mangsa yang merupakan wanita warga tempatan berumur 21 tahun bekerja seorang diri di kedai berkenaan.
"Mangsa yang ketika itu bekerja seorang diri sementara menunggu rakannya masuk bertugas didatangi suspek lelaki memakai pelitup muka serta bersenjatakan pisau pemotong kertas.
"Suspek bertindak agresif dengan menikam mangsa yang cuba mempertahankan dirinya," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.
Katanya, mangsa kemudian dibawa mendapatkan rawatan di Hospital Shah Alam untuk rawatan lanjut.
"Mangsa yang mengalami kecederaan dengan tiga kesan torehan akibat tikaman itu dibenarkan pulang kira-kira jam 1 pagi selepas mendapatkan rawatan.
"Setakat ini tiada sebarang kerugian dialami mangsa atau syarikat tempat mangsa bekerja," katanya.
Menurutnya, wajah suspek berjaya dirakam menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian.
"Usaha giat dijalankan pihak polis untuk mengesan dan menangkap suspek pada kadar segera.
"Mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut boleh menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Mohd Syer Aidid di talian 013 6544996," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan. -Sinar Harian
#pekerja kedai aiskrim #cedera ditikam #Lelaki bertopeng samun #taman sri muda