Pekerja kebun warga asing maut dalam pergaduhan

Bernama
Ogos 17, 2022 22:46 MYT
Polis berkata mangsa yang berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Bentong pada 5.40 pagi, kira-kira tiga jam selepas pergaduhan berlaku. - Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang pekerja warga asing maut selepas cedera parah akibat pergaduhan di sebuah kebun sayur di Lebu, Bentong awal pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata mangsa yang berusia 27 tahun disahkan meninggal dunia di Hospital Bentong pada 5.40 pagi, kira-kira tiga jam selepas pergaduhan berlaku.
"Susulan kejadian, polis menahan seorang lagi pekerja kebun juga warganegara asing berusia 26 tahun di kebun tersebut bagi membantu siasatan.
"Selain itu, polis merampas sebilah pisau berukuran 12 inci yang dipercayai digunakan dalam kejadian itu," menurutnya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata suspek kini ditahan reman sehingga 23 Ogos bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.
Bagaimanapun, punca pergaduhan belum dapat dipastikan dan mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh untuk bedah siasat.
-- BERNAMA
#pekerja kebun #warga asing #pergaduhan #kabun sayur #Labu #Bentong
;