Pekerja kebun sayur dikhuatiri tertimbus tanah runtuh

Vivi Sumanti
Januari 4, 2021 21:23 MYT
Dalam kejadian tanah runtuh pukul 3.30 petang semalam, bongkah batu, kayu dan lumpur memenuhi laluan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing.
GUA MUSANG: Seorang pekerja kebun sayur warga Bangladesh dikhuatiri tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di Tanah Tinggi Lojing, di sini, petang semalam.
Mangsa dikenali sebagai Akhund Md Ziarul, 37, disedari hilang oleh majikannya selepas tidak pulang ke rumah kongsi yang terletak dalam kawasan kebun sayur tidak jauh dari situ.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan kehilangan itu daripada majikan mangsa pada pukul 3 petang tadi.
Katanya, laporan polis di buat selepas majikannya bimbang pekerjanya hilang semasa runtuhan tanah yang turut mengakibatkan sebahagian kebun musnah.
Jelas Choon Foo lagi, majikannya telah cuba mencari pekerjanya di lokasi kejadian, namun gagal kerana keadaan di kawasan itu masih hujan dan cuaca buruk.
Operasi mencari mangsa hilang itu dimulakan pada pukul 4 petang tadi membabitkan tujuh anggota polis, enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan tujuh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Dalam kejadian tanah runtuh pukul 3.30 petang semalam, bongkah batu, kayu dan lumpur memenuhi laluan di Kilometer 92, Jalan Gua Musang-Lojing.
Akibat kejadian itu berlaku aliran lumpur sepanjang dua kilometer telah menghalang laluan menyebabkan jalan berkenaan ditutup untuk semua kenderaan
#tanah runtuh #kebun sayur #Pekerja #tertimbus #jalan #rumah kongsi #operasi mencari #banjir kelantan #banjir #hujan #cuaca
;