Pekerja kargo didakwa kerana mahu bom Pavilion dan Masjid Negara
Bernama
September 23, 2014 14:49 MYT
September 23, 2014 14:49 MYT
Seorang pekerja kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan mengeluarkan kenyataan di media sosial berhubung amaran pelancaran misi mengebom di beberapa tempat.
Syafiq Abdul Rahim, 24, didakwa mengeluarkan kenyataan itu melalui Facebook atas profil Persatuan Kongsi Gelap Melayu dengan niat menakutkan orang awam.
Lokasi itu melibatkan kilang arak di Shah Alam, pusat beli-belah Pavilion, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, kuil Batu Caves dan Masjid Negara.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Stesen Minyak Caltex, Jalan TK 4/5, Taman Kinrara, Bandar Kinrara, Subang Jaya, di sini pada 12.30 tengah hari, 24 Ogos lepas.
Bagi pertuduhan itu, Syafiq didakwa mengikut Seskyen 505(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Hakim Yasmin Abdul Razak membenarkan Syafiq diikat jamin RM2,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 30 Okt ini untuk sebutan semula kes. Dia membayar wang ikat jamin tersebut.
Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Azari Harun manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Razlan Jalaludin.