Pekerja kapal ikan dikhuatiri lemas
Angelina Sinyang
Oktober 2, 2019 11:20 MYT
Oktober 2, 2019 11:20 MYT
Seorang pekerja kapal ikan dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam Sungai Paloh, Belawai, dekat sini, pada Isnin.
Setakat ini, operasi mencari mangsa yang dikenali sebagai Hillary Jelandai, 26 tahun, yang masuk hari kedua, masih belum berhasil.
Menurut Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sarawak, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada jam 10.25 malam.
Susulan itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjong Manis.
Operasi melibatkan 12 orang anggota dari BBP Tanjung Manis dan BBP Daro, menggunakan dua bot, serta tiga anggota polis dari Balai Tanjung Manis.
"Radius pencarian tertumpu di kawasan perairan di 5 kilometer menghala ke Kampung Semah dan perairan Daro, menghala ke Jeti Batang Lassa," kata PGO Sarawak dalam satu kenyataan di sini.
Menurutnya, kehilangan mangsa disedari apabila tiga pekerja lain cuba memanggil mangsa untuk makan bersama sekitar jam 5 petang.
Setelah usaha mencari mangsa di dalam kapal menemui kegagalan, mereka memaklumkan perkara itu kepada pihak majikan untuk membuat laporan polis.
#Belawai
#bomba
#bot
#hilang
#kapal ikan
#lemas
#mangsa
#operasi
#pekerja kapal
#polis
#SAR
#Sarawak
#Sibu