Pekerja kapal ditemui mati tergantung
Astro Awani
Februari 18, 2019 23:53 MYT
Februari 18, 2019 23:53 MYT
Seorang kru sebuah kapal bekalan luar pesisir (offshore supply vessel) ditemui tergantung di sisi badan kapal yang berlabuh kira-kira dua batu nautika di perairan Kemaman pada Isnin.
Mayat kru kapal yang berusia 38 tahun itu ditemui oleh rakan sekerjanya kira-kira jam 1.30 petang tadi.
Mangsa yang berasal dari Sarawak itu dijumpai dengan lehernya dililit oleh seutas tali nylon.
Pihak pengurusan kapal yang menyedari berkenaan kejadian tersebut bertindak menghubungi pihak pengurusan pelabuhan sebelum memaklumkan kepada pihak polis.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Mohd Said Ibrahim ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan.
Mayat mangsa kemudiannya telah dibawa ke unit forensik Hospital Kemaman untuk tindakan lanjut.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.