Pekerja hotel temui ajal dalam perjalanan ke tempat kerja

Astro Awani
November 11, 2019 17:47 MYT
Berdasarkan siasatan awal, pemandu bas berusia 43 tahun itu memberitahu dia memberhentikan bas berikutan bas yang dipandunya mengalami kerosakan. - Astro AWANI
Seorang pekerja hotel tidak sempat tiba di tempat kerjanya di Bayan Lepas apabila dia maut dalam kemalangan di KM 117.4 Lebuhraya Utara Selatan dekat Sungai Dua, Pulau Pinang.
Dalam kejadian jam 9 pagi itu, mangsa Muhamat Danil Mt Noh, 21 tahun, meninggal dunia ditempat kejadian akibat kecederaan parah selepas motosikal yang ditungganginya merempuh belakang sebuah bas sekolah yang berhenti dilorong kecemasan.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noor Zainy Mohd Nor berkata, mangsa yang dalam perjalanan dari Jitra untuk ke tempat kerja di Bayan Lepas tidak sempat mengelak dan merempuh bas yang berhenti di lorong kecemasan.
Berdasarkan siasatan awal, pemandu bas berusia 43 tahun itu memberitahu dia memberhentikan bas berikutan bas yang dipandunya mengalami kerosakan.
"Ketika mahu membuat pemeriksaan secara tiba tiba sebuah motosikal meluru laju dan merempuh bahagian kanan belakang bas tersebut." katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Noorzainy berkata, mayat mangsa di hantar ke Hospital Kepala Batas, Pulau Pinang untuk bedah siasat.
"Pemandu bas ditahan untuk siasatan lanjut dan kes di siasat di bawah Seksyen 41(1)APJ 1987.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan semua pemandu dan pengguna jalan raya supaya mematuhi peraturan jalan raya sedia ada dan sentiasa berhati-hati ketika memandu kenderaan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku.
#kemalangan maut #Kepala Batas #motosikal #pekerja hotel #rempuh bas
;