Pekerja hotel Labuan maut terkena renjatan elektrik tiang lampu

Bernama
Mei 4, 2023 19:32 MYT
Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Ryandeigo Roselee, 18, yang berasal dari Sook, Keningau, Sabah. - Foto Sinar Harian
LABUAN: Seorang pekerja hotel maut akibat terkena renjatan elektrik dari sebuah tiang lampu jalan yang bervoltan tinggi di pusat bandar tengah malam tadi.
Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata mangsa yang meninggal dunia dikenal pasti sebagai Ryandeigo Roselee, 18, yang berasal dari Sook, Keningau, Sabah.
"Remaja itu tersentuh tiang lampu bervoltan tinggi ketika berjalan di laluan berbumbung sepanjang 50 meter yang berpagar dan tercampak ke laluan pejalan kaki," katanya pada sidang media di sini.
Dia ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri di sebelah tiang lampu di laluan pejalan kaki ketika ambulans tiba dan meninggal dunia di tempat kejadian pada 12.05 tengah malam.
Ahmad berkata mangsa ditemukan oleh abangnya yang berasa tidak sedap hati selepas menyedari adiknya masih belum pulang seperti kelaziman iaitu pada 11.30 malam (syif malam).
"Abang mangsa mengambil keputusan mencari adiknya dan menemukan si mati di laluan pejalan kaki dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya.
Ahmad berkata pemeriksaan di tiang lampu mendapati ia dalam keadaan baik dan tiada wayar hidup yang terdedah di luar tiang lampu itu.
"Kami telah menutup sementara laluan pejalan kaki sehingga pihak berkuasa tempatan Perbadanan Labuan dan Saba Electricity Sdn Bhd (SESB) mengesahkan laluan itu selamat untuk pejalan kaki," kata Ahmad.
Polis menasihatkan orang ramai agar sentiasa berhati-hati semasa berjalan berhampiran talian elektrik yang terdedah terutamanya dalam cuaca berkabus.
-- BERNAMA
#pekerja hotel #renjatan elektrik #tiang lampu #Labuan
;