Pekerja gudang maut tertimbus tanah runtuh di Sungai Buloh

Astro Awani
Mei 17, 2014 19:16 MYT
Pekerja gudang maut tertimbus tanah runtuh di Sungai Buloh
Seorang pekerja gudang perabot warga Bangladesh ditemui mati tertimbus dalam kejadian tanah runtuh dipercayai akibat hujan lebat di Jalan Kampung Baru, Sungai Buloh, pagi tadi.
Timbalan Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohd Sani Harun memaklumkan mangsa yang dikenali sebagai Abul Kassim, 43, tertimbus sedalam satu meter di bawah timbunan dinding zink dalam kejadian kira-kira 10.30 pagi itu.
Jelas Mohd Sani, semasa kejadian mangsa dipercayai sedang berada di dalam tandas di gudang tersebut.
Gudang perabot berkenaan terletak berhampiran kawasan bukit.
Pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 10.43 pagi dan mengambil masa lebih daripada tiga jam untuk mengeluarkan mayat mangsa.
Sementara itu, saksi menceritakan, ketika kejadian, dia bersama perkerja lain berada di dalam kedai dan baru untuk memulakan pekerjaan.
Mangsa dipercayai maut akibat kesukaran bernafas.
Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk dibedah siasat.
#Bangladesh #gudang perabot #mati tertimbus #tanah runtuh
;