Pekerja durjana: Pengemas bilik di Pangkor dihukum gantung, bersalah bunuh majikan hamil
Nazialita Geynna Maharan
Januari 29, 2018 20:25 MYT
Januari 29, 2018 20:25 MYT
Seorang pekerja sebuah pusat peranginan di Pulau Pangkor dihukum gantung sampai mati oleh Mahkamah tinggi di sini hari ini setelah didapati bersalah membunuh majikannya yang juga seorang wanita hamil di Teluk Nipah, Pulau Pangkor 10 tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman Anselm Charles Fernandis, menjatuhkan hukuman itu terhadap Hamzah Osman, 28 tahun selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam penghakiman beliau, Anselm berkata, keputusan itu juga dibuat selepas mengambil kira hujahan dan penjelasan yang terperinci daripada pihak pendakwaan dan pembelaan selain daripada keterangan 20 orang saksi pendakwaan.
Hamzah yang ketika kejadian bekerja sebagai pengemas bilik di resort berkenaan didapati membunuh Norazuda Iden, 31 tahun yang hamil enam bulan sewaktu insiden berkenaan.
Kesalahan tersebut didakwa dilakukan di sebuah resort di Teluk Nipah, Pulang Pangkor dekat sini kira-kira pukul 1 pagi pada 18 Ogos 2008.
Tertuduh yang diwakili peguam, M. Manoharan dan S Kirthiraj didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori.
Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya, Fadhli Ab. Wahab telah memanggil 20 saksi manakala pihak pembelaan tidak memanggil sebarang saksi setelah tertuduh memilih untuk berdiam diri.