Pekerja dilanggar lori pemunggah kontena di PTP
Bernama
Februari 10, 2019 06:00 MYT
Februari 10, 2019 06:00 MYT
Seorang lelaki warga Nepal maut dilanggar lori pemunggah kontena yang membuat pusingan-U di Jalan Utama Dermaga Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) di sini, pada Ahad.
Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata dalam kejadian pukul 5.22 pagi itu, mangsa, yang juga pekerja pelabuhan tersebut, dipercayai melintas di laluan utama PTP yang ketika itu sedang sibuk dengan kerja-kerja pemunggahan kontena.
Beliau berkata hasil siasatan mendapati Gautham Jhamka Prasad, 38 tahun, tidak menggunakan laluan sepatutnya sebelum dilanggar daripada sisi kanan lori berkenaan yang sedang membuat pusingan-U.
"Mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta badan dan disahkan maut di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Hospital Besar Kulai untuk bedah siasat," katanya dalam kenyataan di sini, pada Ahad.
Dzulkhairi berkata lori berkenaan juga dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri untuk dihantar ke Puspakom bagi tindakan selanjutnya.
"Tiada saksi tampil untuk memberi keterangan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Johor Ir Dasuki Mohd Heak berkata pihaknya sedang menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca kejadian yang meragut nyawa warga Nepal itu.
Dalam satu kenyataan berasingan, beliau berkata satu arahan penggantungan tugas juga dikeluarkan kepada pemunggah kontena terlibat dan operatornya digantung tugas untuk siasatan lanjut.
Katanya JKKP memandang serius setiap kemalangan berlaku dan insiden seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif.
-- BERNAMA
#Hospital
#kemalangan
#keselamatan
#lelaki
#mangsa
#maut
#mayat
#Nepal
#Pelabuhan Tanjung Pelepas
#PTP