Pekerja di Kompleks Bersepadu Pengerang ditahan berhubung dakwaan palsu
Siti Nur Aqilla Omar
September 5, 2021 14:08 MYT
September 5, 2021 14:08 MYT
KOTA TINGGI: Seorang kakitangan kontrak Petronas Pengerang yang dipercayai menyebarkan berita palsu kematian ahli keluarga akibat COVID-19 bagi mendapatkan sumbangan derma, ditahan.
Ketua Balai Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Hussin Zamora berkata, suspek berusia 45 tahun, warga tempatan itu ditahan ketika hadir membuat laporan keterangan tentang kejadian itu di Balai Polis Bayu Damai, di sini, semalam.
Katanya, hasil maklumat dan siasatan pasukan bahagian Siasatan Jenayah Komersil IPD Kota Tinggi, mendapati aspek menyebarkan berita palsu berkenaan 14 ahli keluarga meninggal dunia akibat COVID-19 bagi mendapatkan sumbangan derma sejak bulan Jun tahun ini.
"Dalam siasatan setakat ini dipercayai suspek mendapat sumbangan dianggarkan bernilai RM91,000.
"Maklumat tular menerusi media sosial WhatsApp dan Facebook yang mendakwa lelaki tersebut berdepan
dengan ujian berat akibat kehilangan keluarga telah menarik simpati orang ramai untuk memberikan sumbangan derma yang dimasukkan ke dalam akaun bank suspek," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurut Hussin, suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan.
"Maklumat tangkapan terhadap suspek adalah berdasarkan kepada maklumat pengadu kes iaitu wakil Petronas.
"Pihak polis menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berwaspada dan membuat penilaian sebelum membuat apa-apa sumbangan atau derma supaya tidak menjadi mangsa penipuan," katanya.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, di mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak kurang dari 1 tahun dan tidak lebih dari 10 tahun, dan sebat, serta boleh dikenakan denda.
Sebelum ini, tular di media sosial mengenai berita sedih yang kononnya 14 ahli keluarganya maut akibat COVID-19.
Sementara itu, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim dalam ciapan Twitternya berkata, selepas mendapat laporan penuh dari Pegawai Daerah, pihak atasan telah menasihatkan Petronas untuk mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung perkara tersebut.