Pekerja dakwa gaji ditolak jika solat Jumaat
Sinar Harian
Oktober 16, 2018 10:47 MYT
Oktober 16, 2018 10:47 MYT
Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan akan menyiasat kenyataan tular di media sosial mengenai pekerja Bangladesh sebuah kilang di Labu di sini, yang dikatakan terpaksa mengambil 'cuti' dua jam bagi menunaikan solat Jumaat.
Pengarahnya S Tharu Marajan berkata, walaupun tiada peruntukan undang-undang yang majikan perlu membenarkan pekerjanya bersolat, tetapi itu bukan bermakna majikan boleh untuk tidak mengendahkannya.
"Saya mengetahui perkara itu di Facebook dan telah mengarahkan pegawai untuk menyiasat kebenarannya, kerana tidak dinyatakan dengan jelas alamatnya.
"Jika benar, kita akan cuba menyelesaikannya dengan cara menang-menang. Maksudnya, majikan tidak akan rugi dan pekerja juga dapat tunai tanggungjawabnya," katanya.
Menurutnya, majikan sepatutnya bersikap lebih prihatin dan jika disebabkan pekerja solat Jumaat boleh mengganggu kerja atau merugikan syarikat, majikan mungkin boleh memanjangkan waktu kerja sebagai ganti.
Bagaimanapun, katanya, masalah seumpama itu boleh diselesaikan jika ada pertimbangan.
Baru-baru ini, tular di Facebook mengenai tiga pekerja Bangladesh yang berjalan kaki sejauh 2km dari tempat tinggal mereka di kawasan Labu untuk solat Jumaat.
Bagi menunaikan tanggungjawab itu, duit gaji mereka berjumlah RM800 sebulan terpaksa ditolak RM10 kerana mengambil 'cuti' dua jam iaitu RM5 untuk setiap satu jam.
#Bangladesh
#cuti
#Facebook
#gaji
#Jabatan Tenaga Kerja
#kilang
#Labu
#majikan
#Negeri Sembilan
#Pekerja
#potong gaji
#Siasat
#Solat Jumaat
#undang-undang