Pekerja binaan maut terjatuh dari ketinggian 10.5 meter
Abd Razak Mohd Ali
Julai 8, 2021 11:32 MYT
Julai 8, 2021 11:32 MYT
MANJUNG: Seorang pekerja binaan maut ketika mendapat rawatan di Hospital Seri Manjung selepas terjatuh dari tempat tinggi di sebuah tapak projek pembinaan kilang sarung tangan di sini, pada Rabu.
Mangsa, Mohamamad Shah Madikom, 44 tahun, disahkan meninggal dunia kira-kira 11.15 pagi, dua jam selepas dikatakan terjatuh dari ketinggian 10.5 meter.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, susulan daripada itu, pihaknya telah menghantar sepasukan pegawai penyiasat semalam untuk menjalankan siasatan terhadap kes kemalangan tersebut.
Siasatan awal mendapati mangsa yang bekerja sebagai pekerja binaan sedang menjalankan aktiviti merombak kepingan bumbung.
“Mangsa naik ke atas bumbung dengan menggunakan ‘skylift’.
“Semasa mangsa berada di atas, mangsa terpijak kepingan bumbung lutsinar yang menyebabkan mangsa jatuh dari ketinggian 10.5 meter ke atas permukaan berbatu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah telah dibawa ke Hospital Seri Manjung dan disahkan meninggal dunia lebih kurang jam 11.15 pagi.
Ir Zamzurin berkata, pihaknya telah mengarahkan semua aktiviti bekerja tempat tinggi di tapak pembinaan tersebut dihentikan dengan serta-merta.
Di samping itu, katanya, JKKP Perak turut mengarahkan majikan untuk menambahbaik penaksiran risiko dan prosedur kerja selamat bagi kerja merombak kepingan bumbung di tempat tinggi.
Beliau menegaskan, JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
“Majikan bertanggungjawab untuk mengenalpasti bahaya-bahaya di tempat kerja, membuat analisa risiko dan seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja,” tambahnya.
Menurutnya, kejadian seumpama itu boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC).
Selain itu, katanya, majikan boleh merujuk kepada Garispanduan Pencegahan Jatuh di Tempat Kerja yang telah dikeluarkan oleh JKKP pada tahun 2007.