Pekerja binaan maut, 12 lain cedera bas dinaiki dirempuh lori
Bernama
Jun 3, 2018 23:34 MYT
Jun 3, 2018 23:34 MYT
Seorang pekerja binaan warga asing maut manakala 12 yang lain cedera ringan apabila bas pekerja yang dinaiki mereka dirempuh lori di Sungai Rengit, dekat Kota Tinggi, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Supt Ahsmon Bajah berkata kemalangan di KM5 Jalan Sungai Rengit- Kota Tinggi itu dipercayai berlaku apabila lori membawa muatan pasir berkenaan melanggar sisi bas semasa membelok.
"Mangsa yang maut adalah seorang penumpang bas, namun, identiti dirinya belum dikenal pasti," katanya ketika dihubungi.
Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Penawar, Azlan Mohd Sobri berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 4.27 petang tadi dan enam anggota dengan satu jentera bergegas ke tempat kejadian.
Beliau berkata sejurus tiba, kesemua mangsa didapati sudah keluar dari bas berkenaan dengan sebahagiannya juga sudah dibawa ke klinik berhampiran.
Katanya, difahamkan, bas tersebut dalam perjalanan membawa pulang sejumlah pekerja warga asing yang bekerja di Pengerang.
"Tiada mangsa yang tersepit. Mangsa yang meninggal dunia dipercayai lelaki warga Bangladesh dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut," katanya.
#Bangladesh
#bas
#bomba
#cedera
#kemalangan
#Kota Tinggi
#mangsa
#maut
#meninggal dunia
#Sungai Rengit
#warga asing