Pekerja bengkel maut ditetak rakan sekerja

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 24, 2020 16:46 MYT
Anggota forensik melakukan kerja-kerja siasatan kes pembunuhan warga asing di sebuah bengkel di Sungai Puyu, Butterworth pada Jumaat. - Gambar Astro AWANI
Seorang pekerja bengkel warganegara asing mati dipercayai dibunuh rakan sekerja dalam pergaduhan di sebuah bengkel membaiki lori di Sungai Puyu, di sini.
Mangsa, Thing Soe Min, 36, warga Myanmar yang juga pemegang kad UNHCR ditemui berlumuran darah dengan kesan koyakan di dahi, luka di bibir pipi dan dagu dipercayai dipukul dengan objek tumpul.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mayat mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dilitupi kanvas oleh pemilik bengkel ketika mahu membuka bengkel berkenaan kira-kira pukul 9.30 pagi.
"Dari siasatan awal (mendapati) ada kesan tetakan pada dahi si mati dan ada kesan tusukan di bibir dan pipi. Kita percaya berlaku awal semalam (dan) terdapat serpihan kaca dipercayai dari botol minuman keras.
"Kami percaya pergaduhan antara ketiga-tiga mereka sebab dua lelaki myanmar di workshop (bengkel yang sama) telah melarikan diri ini. Kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh," kata Noorzainy.
Menurut Noorzainy, berdasarkan rakaman percakapan majikan mangsa, bengkel itu mempunyai tiga pekerja warganegara Myanmar.
Mangsa yang baru tujuh bulan bekerja di bengkel itu tinggal di rumah kontena yang disediakan majikan bersama dua lagi rakan yang baru sebulan bekerja di situ.
Menurut majikan, mangsa baru saja meminjam wang sebanyak RM800 dengannya pada petang Khamis kerana mahu mengirimnya ke kampung halaman.
Noorzainy berkata, pihak polis sudah mengenalpasti suspek yang dipercayai telah melarikan diri dan usaha mengesan mereka giat dijalankan.
Mayat mangsa telah dihantar ke hospital untuk bedah siasat dan kes disiasat dibawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
#Butterworth #maut ditetak #pekerja bengkel #rakan sekerja #warga myanmar
;