Pekerja balak hilang dikhuatiri diserang binatang buas

Bernama
Mei 1, 2019 06:03 MYT
Difahamkan mangsa yang baru dua minggu bekerja dengan syarikat pembalakan terbabit, dikenali sebagai Kenek Antok. - Gambar hiasan
Seorang pekerja syarikat pembalakan yang melakukan kerja-kerja penandaan kayu di kawasan hutan Ulu Sungai Melatai, Baleh, dekat sini hilang, dan dikhuatiri diserang binatang buas pada Selasa.
Difahamkan mangsa yang baru dua minggu bekerja dengan syarikat pembalakan terbabit, dikenali sebagai Kenek Antok.
Menurut jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, mangsa bersama kumpulan sembilan lagi pekerja masuk ke hutan, untuk melakukan kerja-kerja penandaan kayu pada 6 pagi Selasa.
Katanya, pada lebih kurang 12 tengah hari, semua pekerja telah kembali semula ke kem, kecuali mangsa.
"Pada jam 3 petang gerakan mencari telah dijalankan kumpulan rakan sekerja mangsa di kawasan hutan tersebut, dan telah menjumpai sebuah beg dipercayai milik pekerja berkenaan serta kesan darah di kawasan berhampiran," jelasnya.
Pada 6.40 petang, adik mangsa membuat laporan kehilangan abangnya di Balai Bomba dan Penyelamat Kapit.
Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan dimulakan pada Khamis kerana hari sudah gelap, dan perjalanan dari pekan Kapit ke kem syarikat pembalakan itu dengan menaiki bot mengambil masa empat jam, manakala perjalanan dari kem ke lokasi kejadian memakan masa enam jam.
-- BERNAMA
#bomba #gerakan mencari #hilang #hutan #Kapit #Kenek Antok #kerja penandaan kayu #kesan darah #mangsa #Pekerja #Sarawak #syarikat pembalakan #Ulu Sungai Melatai
;