Pekerja asing tapak binaan maut tertimbus di Kuantan

Bernama
Disember 12, 2020 22:08 MYT
Ismail berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan tindakan selanjutnya. Foto: Sinar Harian
KUANTAN: Seorang pekerja kontrak dipercayai warga Bangladesh maut setelah tertimbus dalam kejadian tanah runtuh di sebuah tapak pembinaan di Kota SAS di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, enam anggota bomba dari balai bomba Indera Mahkota dikejarkan ke tempat kejadian setelah dimaklumkan mengenai kejadian itu pada pukul 2 petang.
"Kami menggunakan dua pengorek kaut untuk menggali tanah di tapak pembinaan sebelum mangsa ditemukan pada pukul 2.30 petang, namun mangsa telah disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Ismail berkata, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) dan tindakan selanjutnya.
-- BERNAMA
#pekerja kontrak #warga Bangladesh #tertimbus #tanah runtuh #Ismail Abdul Ghani
;