Pekerja asing: Kerajaan cari mekanisme tidak guna ejen
Adie Sufian Zulkefli
Februari 9, 2023 15:36 MYT
Februari 9, 2023 15:36 MYT
BATU GAJAH: Kerajaan sedang mencari mekanisme terbaik bagi membolehkan majikan berurusan secara terus, tanpa melibatkan ejen, dalam pengambilan pekerja asing.
Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar berkata, ia bagi memastikan mereka tidak perlu menanggung kos yang tinggi.
Menurutnya, kerajaan memang prihatin dalam isu ini dan seluruh kabinet sedia maklum tentang masalah itu.
"Usaha-usaha sedang diambil untuk memastikan supaya pekerja-pekerja asing mereka tidak disalahgunakan mana-mana pihak untuk membuat keuntungan yang tinggi. Jadi pada masa ini banyak usaha-usaha yang telah diambil.
"Pada minggu lepas Menteri Dalam Negeri juga telah pergi ke tiga negara sumber iaitu Nepal, Indonesia dan Bangladesh untuk berbincang berkaitan perkara ini dan kami sedang membuat kaedah terbaik bagaimana mengatasi perkara ini," katanya.
Beliau ditemui selepas merasmikan konvokesyen Akademi KTM kali ke-5 di Dewan Bunga Raya Akademi KTM di Batu Gajah, Perak pada Khamis.
Hadir sama, Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan KTMB, Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin.
Pada Rabu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu Kementerian Dalam Negeri (KDN) berhenti menggunakan ejen bagi pengambilan pekerja asing kerana melibatkan kos tinggi.
Beliau memberi contoh, kos bagi pekerja Nepal hanya RM3,700, tetapi bagi pekerja Bangladesh dan Indonesia, masing-masing melibatkan kos antara RM20,000 hingga RM25,000.
Katanya, yuran tinggi yang dikenakan ejen itu tidak ubah seperti “penghambaan moden”.