Pekerja asing: Data lengkap mudahkan proses pendaftaran, pengesanan

Madiha Abdullah
Januari 12, 2023 19:40 MYT
Kuota masih diperlukan bagi menyeimbangkan penggunaan pekerja asing dengan tenaga kerja tempatan. - Gambar fail Astro AWANI/ Shahir Omar
KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memainkan peranan proaktif dalam mengurangkan kerenah birokrasi bagi proses pendaftaran pekerja asing.
Pensyarah Hubungan Industri Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Prof Balakrishnan Parasuraman berkata, hal ini boleh dimulakan dengan menguatkuasakan penyimpanan data yang lebih rapi bagi memudahkan pengesanan.
"Apabila semua didaftarkan kita akan tahu berapa ramai masuk dan berapa ramai keluar, berapa yang permit mereka sudah tamat, semua ada data lengkap.
"Sekarang tak ada data, masing-masing hanya cakap berapa legal, berapa illegal. Itu tak bagus untuk negara pada ketika negara menuju ke arah negara maju.
"Negara maju bebas dari perkara seperti itu. Jadi untuk lebih telus, pekerja kena masuk secara sah.
"Siapa nak uruskan? Walaupun Kementerian Sumber Manusia uruskan tapi Kementerian Dalam Negeri boleh jadi ad hoc committee," katanya dalam program Pantau Kerajaan Baharu terbitan Astro AWANI, pada Khamis.
Beliau mengulas keputusan Putrajaya yang melonggarkan peraturan pengambilan pekerja asing dengan menghapuskan prasyarat sedia ada dan membenarkan pengambilan dijalankan mengikut keperluan.
Pelan Kelonggaran Penggajian Pekerja Asing (PKPPA) akan membenarkan majikan mengambil buruh asing dari 15 negara mengikut kemampuan dan keperluan tanpa kekangan prasyarat atau kuota.
Beliau berpendapat, kuota masih diperlukan bagi menyeimbangkan penggunaan pekerja asing dengan tenaga kerja tempatan.
"Majikan kata orang tempatan tak minat kerja ladang, kilang. Tak mengapalah, sektor lain kena buka untuk pekerja kita supaya di situ ada keseimbangan sumber manusia.
"Dalam hal penggajian pekerja asing, kita bukan hanya bawa masuk pekerja asing tetapi kena tengok juga sumber manusia, macam mana masa depan mereka, kalau ramai masuk tetapi kemudian kita tak boleh uruskan mereka.
"Pekerja kita juga perlu kerja, apabila pekerja datang sini kena tengok undang-undang sedia ada, contohnya perumahan, kadang-kadang satu rumah duduk sampai 20 orang, itu memberi imej tidak baik kepada Malaysia," ujarnya.
Dalam masa sama beliau berharap kerajaan dan majikan akan menitikberatkan perihal pendidikan undang-undang bagi membolehkan pekerja yang dibawa masuk bukan sahaja mampu bekerja dengan baik tetapi juga bersedia dan memahami peraturan setempat.
Pantau Kerajaan Baharu | Mencari keseimbangan dalam keperluan tenaga kerja negara
#pekerja asing #majikan #industri #buruh
;