Pekerja Afrika: Sivarraajh gesa menteri fikir implikasi sosial
Astro Awani
Jun 30, 2019 17:45 MYT
Jun 30, 2019 17:45 MYT
Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran sepatutnya mengambil kira implikasi sosial pengambilan pekerja asing dari Afrika terhadap negara kita terlebih dahulu sebelum membuat sebarang cadangan mahupun keputusan berhubung perkara berkenaan.
Naib Presiden MIC, Datuk C Sivarraajh berkata, umum mengetahui kemasukan warga asing khususnya dari Afrika telah memberi kesan secara langsung dalam peningkatan kadar jenayah komersial seperti sindiket penipuan siber dan jenayah berat seperti samun dan pemerdagangan dadah dan senjata di Malaysia.
"Kesan negatifnya pernah diakui sendiri oleh bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar, sebelum ini.
"Selain itu, banyak juga laporan mengaitkan mereka ini dengan jenayah sindiket penipuan siber seperti 419 Scam atau African Scam yang merupakan antara penyumbang utama jenayah siber melibatkan penipuan bernilai hampir RM80 juta untuk tahun 2018 sahaja.
"Tidak cukup dengan itu, baru-baru ini juga kita semua dikejutkan dengan penahanan seorang lelaki warga Nigeria berhubung kes pembunuhan Ketua Jururawat Hospital Serdang, Siti Kharina Mohd Kamaruddin yang menyayat hati," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Ahad.
Sebelum ini, Kula Segaran dilaporkan berkata, kerajaan akan mempertimbang untuk mengambil pekerja asing dari Afrika bagi menampung keperluan tenaga pekerja asing dalam sektor perladangan pada masa akan datang.
Jelasnya, ini kerana pekerja asing dari Vietnam dan Indonesia tidak mahu lagi datang untuk bekerja di negara ini disebabkan gaji yang diterima tidak jauh berbeza dengan negara asal.
Dalam pada itu tegas Sivarraajh, Jabatan Imigresen sendiri pernah menyatakan bahawa sepanjang tahun 2018 sehingga Mei 2019 terdapat 282 warga Afrika yang ditahan atas pelbagai kesalahan.
"Jelas di sini bahawa warga Afrika ini cenderung untuk menyalahgunakan visa pelajar yang diberikan. Jadi, cuba banyangkan kesannya jika kerajaan mengambil keputusan untuk memberi visa pekerjaan kepada mereka.
"Semestinya ramai lagi yang akan menyalahgunakan peluang tersebut. Maka, saya rasa cadangan Kula Segaran untuk kerajaan mempertimbangkan pengambilan pekerja asing dari Afrika ini perlu dikaji semula khususnyadalam konteks sosial terhadap masyarakat tempatan," katanya.
Dalam isu berasingan, Sivarraajh mahu Kula Segaran mengambil maklum dan memberi perhatian yang serius terhadap masalah-masalah yang dihadapi oleh perniagaan usahawan India akibat tindakan kerajaan membekukan pengambilan pekerja asing yang lain.
"Terbukti di sini kekurangan tenaga pekerja asing yang berlaku di negara kita ketika ini adalah akibat dasar yang diperkenalkan oleh Kerajaan sendiri. Maka, saya rasa adalah lebih baik Kula Segaran menyelesaikan masalah ini terlebih dahulu daripada memberi cadangan untuk membawa masuk pekerja asing dari Afrika.
"Apa yang lebih merisaukan adalah, masalah ini tetap berlaku walaupun berkali-kali pihak MAICCI sudah menyatakan bantahan terhadap tindakan membeku pengambilan pekerja asing.
"Maka, saya mencadangkan Kula Segaran untuk melihat masalah kekurangan tenaga pekerja secara menyeluruh dan mengambil tindakan yang komprehensif agar masalah ini dapat secepat mungkin dan secara langsung mengurangkan kesan buruk kepada usahawan," ujar Sivarraajh.
Jelasnya, Kula Segaran perlu menangani masalah kebergantungan ekonomi negara kepada tenaga pekerja asing seperti mana yang dijanjikan oleh Pakatan Harapan (PH) kepada rakyat.
"Pada masa yang sama kerajaan perlu mencari solusi menang-menang untuk menyelesaikan isu pekerja asing tanpa permit di negara kita agar sektor-sektor ekonomi yang bergantung pada tenagakerja pekerja asing dapat terus berkembang tanpa sebarang masalah," tegasnya.
Menurut kenyataan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia (MAICCI) pada 28 Mei 2019, tindakan membeku pengambilan pekerja asing dijangka memberi kesan negatif kepada pelbagai perniagaan yang dijalankan para usahawan India yang memerlukan hanya 50,000 pekerja asing.
Jumlah tersebut dikatakan mewakili hanya satu peratus daripada jumlah besar pekerja asing di seluruh Malaysia dan angka tersebut hanya diperlukan untuk menampung keperluan tenaga kerja dalam tujuh sektor sahaja seperti restoran, tukang emas, tekstil, pengedar surat khabar, gunting rambut, perniagaan runcit dan besi buruk.
Walaupun pihak kementerian menafikan pembekuan, Setiausaha Persatuan Tekstil India dan Kedai Runcit (MITA), R. Maheswary ada menyatakan bahawa pembekuan mengambil pekerja asing tetap berlaku dalam sub sektor seperti industri tekstil, tukang emas dan gunting rambut.
#C Sivarraajh
#ekonomi
#Imigresen
#India
#Indonesia
#jenayah
#kebergantungan
#kesalahan
#Khalid Abu Bakar
#Kuala Lumpur
#M Kula Segaran
#MIC
#Pakatan Harapan
#pekerja asing
#pembekuan
#penipuan
#polis
#salah guna visa
#sindiket
#Vietnam
#Visa