PEKEMA dan UPM bekerjasama, taja biasiswa bagi pelajar B40 cemerlang

Hasimi Muhamad
Oktober 4, 2024 21:57 MYT
Sumbangan Biasiswa Yayasan PEKEMA diserahkan oleh Mohamed Nazari kepada Profesor Madya Siti Aqlima Ahmad. - Foto kredit PEKEMA
KUALA LUMPUR: Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (PEKEMA) bekerjasama dengan Universiti Putra Malaysia (UPM) melaksanakan Program Biasiswa Yayasan PEKEMA.
Inisiatif tersebut bagi menyokong pelajar cemerlang daripada kumpulan berpendapatan rendah (B40) dalam meneruskan pengajian di peringkat ijazah Sarjana Muda.
PEKEMA dalam kenyataan memaklumkan untuk tahun ini, persatuan itu akan menaja seorang pelajar dengan biasiswa berjumlah RM30,000 bagi menampung kos pengajian selama empat tahun di UPM.
“Pelajar yang akan dipilih adalah berdasarkan pencapaian akademik yang cemerlang dan bergiat aktif dalam aktiviti ko-kurikulum.
“Kerjasama ini menandakan langkah penting dalam memupuk kerjasama antara universiti dan PEKEMA dalam menyediakan bantuan pendidikan kepada mereka yang memerlukan,” kata persatuan itu, hari ini.
Terdahulu, sumbangan Biasiswa Yayasan PEKEMA diserahkan oleh Presiden PEKEMA, Datuk Mohamed Nazari Noordin kepada Pengarah Pusat Perhubungan Alumni UPM, Profesor Madya Siti Aqlima Ahmad.
Sementara itu dalam kenyataan sama, Mohamed Nazari menjelaskan inisiatif tersebut mencerminkan komitmen pihaknya untuk menyokong pendidikan di Malaysia, khususnya meringankan beban pelajar daripada kumpulan B40.
“Kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci kepada masa depan yang lebih cerah dan kompetitif,” ujar beliau.
Program Biasiswa Yayasan PEKEMA dijangka menjadi pemangkin untuk pelajar mencapai kejayaan akademik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.
Menerusi pelaksanaan program tersebut, PEKEMA berharap dapat membentuk generasi muda yang berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan negara.
#Pekema #UPM #biasiswa #pelajar #Program Biasiswa Yayasan PEKEMA
;