Pekeliling penambahbaikan kemudahan cuti menjaga anak akan dikeluarkan - Rohani
Azyyati Ahmad
Oktober 15, 2014 18:13 MYT
Oktober 15, 2014 18:13 MYT
Satu surat pekeliling akan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk menerangkan secara terperinci mengenai pengumuman penambahbaikan kemudahan cuti menjaga anak.
Perkara itu disahkan oleh Menteri Pembangunan Wanita Keluarga Dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim dalam satu sidang media pada Ahad.
"Satu pekeliling akan dikeluarkan oleh JPA untuk menerangkan dengan lebih terperinci mengenai kemudahan cuti menjaga anak ini.
Namun saya gembira kerana kumpulan sasarnya adalah wanita dan pindaan ini akan memberikan banyak kebaikan kepada wanita lebih-lebih lagi dalam meluangkan masa bersama keluarga” katanya.
Kata Rohani, pihaknya berharap agar pihak swasta turut bersama-sama mempertimbangkan cadangan kerajaan itu.
Selain, turut berharap agar cadangan pembukaan taska di tempat kerja turut diperluaskan terutama di sektor tersebut.
“Pengumuman tersebut adalah bagi sektor awam, namun saya sangat berharap agar pihak swasta turut sama menyahut cadangan tersebut.
"Banyak kelonggaran telah diberikan serta insentif bagai menggalakkan pembukaan taska di tempat kerja swasta terutamanya. Saya berharap majikan di luar sana sudah mendengar pengumuman tersebut dan menyokong inisiatif ini,” katanya yang turut menyambut baik pengumuman Bajet 2015 kali ini.
Pada Jumaat, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan pada Bajet 2015, bahawa penambahbaikan kemudahan cuti menjaga anak sehingga satu tahun diberikan kepada penjawat awam.
Kemudahan itu tidak terikat dengan tempoh cuti bersalin dan akan berkuat kuasa pada 1 Januari 2015.
Ia turut diberikan kepada pegawai wanita yang mempunyai anak tiri tanggungan, anak angkat yang diambil mengikut undang-undang, anak pelihara dan anak kurang upaya.
Kerajaan turut membenarkan majikan mengendalikan pusat penjagaan kanak-kanak melebihi tingkat dua bagi menggalakkan penubuhan lebih banyak pusat penjagaan kanak-kanak di premis pejabat swasta.
Selain itu, turut diumumkan peruntukan RM2.26 bilion kepada Kementeriannya bagi pembangunan dan operasi mempergiat penglibatan wanita dalam pasaran kerja dan aktiviti keusahawanan.
Ia termasuk pembentukan Program Sokongan Untuk Suri Rumah 1Malaysia bagi memberi latihan kemahiran dan galakan kepada suri rumah memasuki pasaran kerja.
Program Wanita Kembali Berkerjaya (WCC) pula diwujudkan untuk wanita kembali bekerja berdasarkan kelayakan profesional melalui Talent Corp.
#Bajet 2015
#Datuk Seri Rohani Abdul Karim
#kemudahan cuti menjaga anak
#Menteri Kewangan
#Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat