Pekebun sayur mohon kerajaan P. Pinang titik berat isu banjir

Bernama
Disember 9, 2021 18:05 MYT
Sebahagian daripada pekebun sayur dan wakil MCA yang menyerahkan memorandum berkenaan masalah mereka kepada kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini. - Facebook MCA Penang State
GEORGE TOWN: Pekebun sayur di Kampung Pertama, Seberang Perai Tengah (SPT) dekat sini, yang menanggung kerugian selepas tanaman mereka musnah dilanda banjir kilat, memohon kerajaan negeri supaya menitikberatkan isu banjir kilat di negeri ini.
Pengerusi Penduduk Kampung Pertama Lee Kheng Hwa, 50, berkata masalah tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana banjir kilat di kawasan itu telah berlarutan sejak 30 tahun lepas dan dilihat semakin serius beberapa tahun kebelakangan ini.
Lee berkata beliau tidak dapat mengusahakan tanaman sayurnya seperti kangkung, bayam, bendi dan sawi di kebun seluas 0.8 hektar sejak beberapa bulan lepas, kerana kawasan kebunnya masih digenangi air.
"Setiap kali hujan lebat pekebun sayur-sayuran di kampung ini akan menanggung kerugian kira-kira RM3,000 akibat tanaman mereka musnah dilanda banjir," katanya kepada pemberita ketika menyertai Setiausaha MCA negeri Yeoh Chin Kah menyerahkan memorandum berkenaan masalah itu kepada kerajaan negeri di Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) hari ini.
Tambahnya, para pekebun sayur juga memohon kerajaan negeri menyediakan ekurang-kurangnya dua pam air, supaya apabila pintu air tidak dapat dibuka ketika air pasang, pam berkenaan boleh mengalirkan air hujan yang berlebihan ke laut sekali gus dapat mengelakkan berlaku banjir di kebun mereka.
Sementara itu, Yeoh berkata dengan penyerahan memorandum itu, beliau berharap kerajaan negeri akan lebih menitikberatkan isu banjir kilat yang sering berlaku di negeri ini sehingga menyebabkan pekebun sayur menanggung kerugian.
"Kita perlu bersimpati dengan para pekebun sayur. Saya berharap pihak kerajaan negeri akan merancang pelan jangka masa panjang supaya masalah ini dapat diselesaikan," katanya.
-- BERNAMA
#pekebun sayur #banjir #pulau pinang #Seberang Perai Tengah
;