Pekebun rugi lebih RM100,000 terperdaya pelaburan mata wang kripto

Bernama
Ogos 18, 2024 14:00 MYT
Wanita itu berminat menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan sebelum mendaftar dalam sistem yang diberikan suspek. -Gambar hiasan
KUANTAN: Seorang pekebun kerugian RM117,289 selepas terperdaya dengan pelaburan mata wang kripto tidak wujud yang ditawarkan menerusi aplikasi Telegram.
Timbalan Ketua Polis Pahang Datuk Noor Hisam Nordin berkata wanita berusia 36 tahun itu berminat menyertai pelaburan yang menjanjikan pulangan lumayan sebelum mendaftar dalam sistem yang diberikan suspek, baru-baru ini.
Beliau berkata mangsa mula melabur RM110 dan menerima pulangan RM145 sebelum melakukan 27 transaksi ke dalam 20 akaun berbeza kerana percaya dengan pelaburan itu.
"Dalam tempoh tiga hari daripada tarikh pelaburan, duit simpanan mangsa telah lesap. Selepas menyedari ditipu, mangsa membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan hari ini.
Noor Hisam menasihatkan orang ramai supaya tidak mudah percaya terhadap individu tidak dikenali dan membuat semakan dengan polis atau agensi kerajaan berkaitan bagi mengelak menjadi mangsa penipuan.
-- BERNAMA
#pelaburan mata wang kripto #pekebun #Telegram #pulangan lumayan