Pekebun Orang Asli bimbang tanaman diserang gajah
Astro Awani
Mac 3, 2021 09:34 MYT
Mac 3, 2021 09:34 MYT
GUA MUSANG: Pekebun Orang Asli di Kampung Char, Pos Hendrop di sini bimbang apabila sekumpulan gajah liar dikesan memusnahkan tanaman pisang, ubi, kelapa dan pinang sejak seminggu lalu.
Kawasan kebun seluas lebih 8 hektar itu kerap diserang gajah sejak seminggu lalu menyebabkan mereka kerugian sehingga puluhan ribu ringgit.
Tinjauan Astro AWANI mendapati 1,000 pokok pisang dan 1,000 pokok ubi, kelapa serta pinang musnah dirosakkan gajah berkenaan.
Gajah berkenaan dipercayai masih berada di kawasan berhampiran dan bergerak aktif pada waktu malam.
Beberapa pekebun yang ditemui menyuarakan kebimbangan melihat tanaman mereka yang rosak, mengakibatkan sebahagian sumber pendapatan mereka terjejas.
Kejadian itu merupakan kali pertama berlaku sejak mereka mengusahakan kebun itu tiga tahun lalu.